kisah yang panjang – episod satu

2 Jul

assalamualaikum. peringatan, kisah ini sangat panjang. baca jika sudi. terima kasih.

hari sabtu, 26 jun 2010. 6:35 pagi, aku bingkas bangun dari katil lalu terus menuju ke kamar mandi. harinya telah tiba, getus hatiku. hari ini aku akan mendaftarkan diri di uitm johor, kampus segamat.

ketika mandi, perasaanku berbaur. bercampur baur bagaikan bau bauan produk kebersihan yang aku gunakan. seperti adunan bau sabun cecair lifebuoy bercampur syampu head & shoulders. dengan sedikit pedar colgate total.

aku berasa teruja kerana setelah hampir enam bulan aku di rumah, (ya, saya bekerja sebagai juruwang selama empat hari dengan bayaran rm400 terima kasih.) aku akan memulakan bab baru dalam novel kehidupanku. aku sedih kerana aku terpaksa sekali lagi meninggalkan keluarga dan rakan rakan yang aku cintai, aku risau tentang apa yang bakal menantiku di tempat baru itu. apakah aku akan berjaya menyesuaikan diri? siapa yang menantiku di sana? bagaimana dengan senior senior? terlalu banyak persoalan yang timbul dalam benak fikiranku. dan pada waktu itu juga aku berasa sedikit kecewa. adakah aku tidak bersyukur? semua maklum, sememangnya impianku adalah untuk belajar di negeri orang. tetapi hingga hari ini, masih tiada jawapan muktamad dari segala aplikasi biasiswa yang telah ku minta. namun aku redha. sebagai seorang muslim, aku percaya pada qada’ dan qadar. sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

selesai bersiap, aku menuju ke dapur. aku meletakkan roti butterscotch jenama gardenia ke dalam pembakar roti berwarna kuning berjenama elba itu. sementara menunggu siap rotiku dibakar, aku berfikir lagi. aku fikirkan, alangkah baiknya jika dulu aku berusaha dengan lebih bersungguh sungguh dalam peperiksaan spm, alangkah eloknya jika aku kurangkan waktu waktu bersembang, lebihkan waktu mengulangkaji. mungkin aku akan mendapat keputusan yang lebih cemerlang sekaligus nasib aku berbeza. sekali lagi aku merasakan diriku tidak bersyukur. aku beristighfar. bunyi ‘ting’ pembakar roti yang  mengumumkan siapnya pembakaran roti butterscotch aku itu membawaku kembali ke dunia nyata. aku makan. selesai, aku memasukkan bagasi yang telah siap dikemas semalam kedalam gobok belakang toyota berwarna hitam itu. aku masuk ke dalam kereta. bersama ibu, bapa dan adikku, kami memulakan perjalanan.

oh ya, pada hari ini jugalah aku dijadualkan sekali lagi untuk ditemu ramah oleh pihak malaysia airports holdings berhad (mahb). ya, aku pernah menghadiri temuramah pertama mereka dan hari ini aku dipanggil sekali lagi. mereka hanya mengumumkan perkara ini kepadaku semalam, sehari sebelum pendaftaranku ke uitm. bapa memandu terus menuju ke hotel pan pacific, klia.

sampai di sana, aku terus ke lobi dan baru ku tersedar, bahawa fail resume aku belum tersedia. cepat-cepat aku memasukkan segalai fail dan kertas ke dalam ‘clear holder’ yang dihadiahkan oleh pihak sekolah pada hari graduasi di sekolahku tahun lepas. oh alangkah indahnya alam persekolahan. selesai menyusun, aku disapa encik nadzrul, pegawai yang menguruskan hal ehwal biasiswa mahb. aku disuruh menuju ke sudut bilik konferens, dan di situ aku melihat ada beberapa orang lagi calon calon menunggu di luar bilik. aku menuju ke satu kumpulan, aku menegur dan kami mula berbicara. ada calon pra-universiti sepertiku, ada juga calon ijazah pertama dalam negara, serta ijazah pertama luar negara. semua mereka kelihatan hebat. resume di tangan mereka juga kebanyakkannya lebih tebal daripada resume milikku.

semasa kami berbual, berlalu seorang lelaki, berambut dan berjanggut putih, umur kurang lebih separuh abad, segak memakai kot kelabu dan tai merah. dia ditemani dua pegawai yang jauh lebih muda. aku tidak kenal siapa dia sebenarnya, namun ada beberapa calon yang menyapa, “good morning, tan sri.” aku hanya senyum. mereka memberitahuku, “itulah tan sri bashir ahmad abdul majid, pengarah urusan mahb.” aku sekadar mengangguk. seorang lagi pegawai menghampiri kami, dan kami diarah menunggu di bilik menunggu. jam menunjukkan pukul 9:20 pagi.

lingkungan 10.45 pagi, kumpulan pra-universiti dipanggil. mereka yang lain telah ditemuramah sebelumnya. kumpulan kami adalah kumpulan terakhir. aku dengan gementar melangkah masuk ke dalam bilik persidangan itu. sejuk, itulah perkara pertama yang aku fikirkan. tan sri duduk di kepala meja, diapit dua pegawai yang mengiringinya sebentar tadi. aku duduk di sebelah kirinya, bersama seorang lagi calon.

hairannya tidak banyak soalan kami ditanya, cuma banyak yang dikisahkan tan sri. tentang tujuan biasiswa ini, apa yang dicarinya dalam calon dan tentang budaya mahb. kami hanya ditanya tan sri tentang tempat tinggal dan kursus yang diminati. tapi jelas kelihatan, tan sri seorang yang mesra, dan mengambil berat tentang hal ehwal syarikat pimpinannya. setelah 15 minit, sesi diumumkan tamat dan setelah berjabat tangan, kami semua berpisah. aku menuju ke lobi, dan terus ke dalam kereta bapaku yang menunggu. bapaku mengatakan, wajahku agak ketat saat masuk ke dalam kereta, adakah aku gusar, soalnya. aku tidak menjawab, hanya ketawa kecil. perjalananku ke segamat diteruskan. ke selatan kami tuju.

di atas lebuhraya, kelihatan banyak sekali kereta. ada juga yang aku perasan, membawa baju bergantung-gantung. tentu mendaftar anak juga, hatiku bicara.

untuk ke segamat, haruslah keluar di susur keluar tangkak. lepas tol, papan tanda menunjukkan arah segamat kelihatan. perjalanan dari tol tangkak ke segamat mengambil masa hampir dua jam. sepanjang perjalanan, kami melalui pekan pekan kecil, hutan belukar serta ladang kelapa sawit yang banyak sekali. di pinggir jalan sebelah ladang ladang ini, terdapat batu tanda yang menandakan pemilik ladang. ada yang dimiliki ioi plantations, ada yang dimiliki genting plantations. tetapi yang paling kerap dilihat adalah batu tanda sime darby plantations. aku teringat akan permohonan biasiswa sime darbyku yang masih belum tahu keputusannya.

setelah beberapa ketika, sampailah kami ke uitm johor, kampus segamat. terdapat kain rentang bertulis, ‘selamat datang siswa/siswi uitm sesi julai-november 2010’. lepas pondok jaga, terdapat beberapa petugas yang memberikan kertas nombor bilik. nombor 142. kolej kediamanku bernama taming sari. kata petugas itu, ‘terus saja, di depan masjid, berwarna oren.’

tidak sukar mencari kolej kediamanku. kereta diberhentikan. aku duduk sebentar, melihat bangunan kolej kediaman taming sari itu. tidak baru, namun elok dan dijaga rapi. untuk kolej siswa, iaitu sektor A, terdapat dua kolej iaitu kolej taming sari dan kolej sempana riau. untuk kolej siswi, terdapat sektor B dan sektor C. sektor B terdiri daripada kolej baiduri dan kolej nilam, manakala sektor C terdiri daripada kolej intan, kolej zamrud, kolej si manja kini dan kolej sempana alam buana. unik bukan nama nama kolej kediaman kami?

oh ya, kawasan uitm johor ini juga berbukit bukau dan bercerun. maklumlah, sememangnya kampus ini terletak di kawasan kaki gunung ledang. dan tidak berkecuali kolej kediamanku, aku terpaksa menuruni cerun sambil membawa bagasi bersama ibu dan bapa. sampai di kolej, aku menuju ke pejabat kolej kediaman untuk mendapatkan kunci bilik. setelah selesai urusan, kami naik ke tingkat satu, dan mencari bilikku.

wah, semuanya baru. katil, tilam, almari dan meja belajar semuanya baru. bilik itu adalah untuk memuatkan empat orang siswa, namun hanya aku seorang baru sampai. jadi aku memilih katil di sebelah kiri bilik, di bahagian atas (katil dua tingkat.) suasananya agak nyaman, tidak terlalu panas kerana bilikku terlindung dari pancaran suria. setelah berkemas buat beberapa ketika, terdengar suara pengumuman mengumumkan pengumpulan siswa siswa. aku bergegas turun, ibu dan bapa berkeras mahu terus mengemas bilikku.

kami diarahkan berkumpul di bawah kolej kediaman, sebelum dibawa ke masjid untuk solat asar berjemaah. di sinilah kali pertama kami duduk sekali dan bertegur sapa. salam dihulur, nama disebut. itulah rutinnya. tapi bagi diriku, rutin ini hanyalah sekadar rutin. aku bukanlah jenis manusia yang mudah mesra dan boleh bersembang panjang dikala pertemuan pertama. hanya perbualan pendek, menanyakan tentang tempat asal, kursus, sekolah lama. selesai solat asar, kami dibawa ke dewan sri temenggung, dewan utama uitm johor kampus segamat. jauh juga perjalanannya, kurang lebih lapan minit berjalan kaki. ditambah dengan cerun bertangga yang harus didaki dan dituruni, pecah peluh juga dibuatnya.

di dewan, kami diberikan taklimat tentang minggu orientasi yang dikenali sebagai minggu destini siswa, oleh para petugas yang digelar pembantu mahasiswa ataupun pm. kelihatan ramai yang agak kepenatan, setelah seharian perjalanan. aku menelefon ibu bapa ku, dan mereka masih ada di bilikku. genap jam enam, kami dibawa ke dewan makan untuk makan malam. dewan ulam raja. tetapi aku memilih untuk tidak ke dewan tersebut, tetapi aku terus ke kolej kediamanku (yang terletak di sebelah dewan makan tersebut.) bapaku telah membelikan makanan segera (ayam goreng rangup) di pekan segamat dan aku hanya makan di bilik. selesai makan, aku mengucapkan selamat tinggal kepada ibu dan bapaku. semua pelajar juga telah selesai urusan di dewan ulam raja, dan aku menyertai mereka menuju ke masjid as-syakirin.

bersama-sama kami menunaikan solat maghrib, diikuti dengan solat sunat gerhana. kebetulan pula gerhana bulan jatuh pada malam itu. selesai, akmi mendengar kuliah maghrib sebelum sambung solat isya’. dan untuk pengetahuan semua, kami tidak dibenarkan pulang ke bilik selepas solat, tetapi terus ke dewan sri temenggong untuk taklimat tentang perjalanan program esok. ya, sepanjang minggu destini siswa, konsep ‘turun tak naik, dan naik tak turun’ kolej diamalkan. bermaksud kami hanya berpeluang mandi di pagi hari sebelum aktiviti bermula, dan di pada waktu malam, setelah segala aktiviti selesai.

taklimat kali ini berkisar tentang dua perkara utama, iaitu hari esok, ahad 27 jun di mana pendaftaran akademik akan diadakan, serta lusa, isnin 28 jun di mana perasmian minggu destini siswa yang akan dihadiri oleh pemangku pengarah uitm johor sendiri. dan secara semulajadi, kami diperdengarkan lagu wawasan setia warga uitm dan lagu uitm dihatiku, dua lagu rasmi uitm. setelah mendengar kedua-dua lagu ini buat kali pertama, aku membuat konklusi bahawa lagu rasmi unimap yang sememangnya dihafal olehku, iaitu lagu visi universiti dan wawasan unimap, adalah lebih rancak dan sedap didengar. jam hampir menunjukkan pukul 11:30, dan kami diarah untuk pulang menuju dewan makan untuk makan lewat malam. menu biasa, teh tawar dan roti kacang merah.

selesai makan, kami diarah berkumpul di bawah kolej kediaman masing masing. semua siswa kelihatan penat dan mengantuk, berlengas berbaju pejabat setelah seharian mendaki/menuruni cerun. kami diberi taklimat kolej, tentang peraturan ringkas, dan diperkenalkan kepada yang dipertua kolej (ketua asrama). dan kami juga diberitahu, sepanjang minggu ini, kod pakaian adalah formal bertali leher. cantik sekali, kerana aku hanya membawa dua helai kemeja berlengan panjang. genap jam 12:15, kami dilepaskan untuk naik, beserta ingatan untuk berkumpul di bawah kolej sebelum jam 5:15.

sampai di bilik 142, aku bertemu dengan rakan sebilikku yang berasal dari terengganu. berambut kerinting dan berbadan sedap. kursus beliau adalah diploma sains komputer dan matematik. namun bicara kami pendek, mungkin kerana halangan bahasa, fikirku. loghatnya agak pekat, dan dia juga seperti kurang faham apa yang aku katakan. tak mengapalah, baru hari pertama, hatiku berbisik. setelah selesai mandi dan berkemas untuk hari esok, genap jam 1:35, aku mula memanjat katil dan berbaring, sambil mengenangkan nasib yang belum tentu. aku tidur.

Advertisements

2 Responses to “kisah yang panjang – episod satu”

  1. mokjan July 3, 2010 at 00:46 #

    citer bagai nak rak, pastu belah.. haha >.<

    • amiruddin July 3, 2010 at 01:41 #

      haish tak saspen la episod dua. 😛

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: